GOOGLE TRANSLATE

Saturday, February 20, 2016

Peranan dan tanggungjawab Pengurus Sekolah dalam Pengurusan Kewangan

                Pengetua dan Guru Besar perlulah mematuhi Arahan Perbendaharaan, Pekeliling dan Surat Pekeliling PerbendaharaanTatacara Pengurusan Kewangan dan Perakaunan Kumpulan Wang Sekolah serta arahan dari Bahagian-Bahagian KPM. Pengetua dan Guru Besar turut bertanggungjawab dalam menyediakan sistem kawalan dalaman dan struktur organisasi yang sesuai untuk menjalankan tanggungjawab dengan berkesan. Secara umumnya terdapat lapan tanggungjawab utama Pengetua dan Guru Besar di sekolah dalam usaha mengurus kewangan yang berkesan;

 i)         Penyediaan Penyata Kewangan:- 

Pengetua dan Guru Besar hendaklah menyediakan Penyata Kewangan Tahunan bagi tahun berakhir 31 Disember setiap tahun mengikut prinsip perakaunan yang telah ditetapkan. ( Peraturan 6 Akaun dan Audit 2002 dan Akta Pendidikan 1996 )

ii)         Kemukakan Penyata Kewangan:-


Penyata Kewangan Tahunan hendaklah dihantar kepada Ketua PTJ dan seterusnya diserahkan kepada Bahagian Audit Sekolah tidak lewat daripada 31 Mac tahun berikutnya bagi tujuan pengauditan.

iii)        Perlantikan Juruaudit Dalaman:-


Pengetua dan Guru Besar perlu melantik Juruaudit Dalaman bagi tujuan mengkaji kelemahan dalam sistem Pengurusan Kewangan Sekolah. Juruaudit Dalaman hendaklah terdiri daripada guru yang tidak terlibat dalam urusan menandatangani cek bayaran.

iv)        Penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Kewangan dan Akaun:-


Pengetua dan Guru Besarhendaklah melantik Jawatankuasa Pengurusan Kewangan dan Akaun (JPKA) bagi membantu Pengurus Sekolah. JKPA bertindak membantu Pengetua Dan Guru Besar dalam mengawasi, mengesan dan menyelia semua urusan kewangan dan akaun mengikut peraturan yang berkuatkuasa meliputi pengurusan perbelanjaan, perakaunan, pungutan dan tunggakan hasil, penyediaan dan pembentangan Penyata Kewangan dan Laporan Tahunan sekolah. JKPA turut berperanan meneliti dan mengambil tindakan susulan terhadap Laporan Audit serta merancang latihan untuk kakitangan yang mengurus hal-hal kewangan.

Ahli-Ahli JKPA terdiri daripada Pengerusi (Pengetua Dan Guru Besar), Setiausaha (KPT/PT Kewangan), manakala ahlinya pula terdiri daripadsa semua Penolong Kanan/ Ketua Bidang/ Ketua Panitia/ Juruaudit Dalam/ Guru Prasekolah/ Guru Pendidikan Khas/ Pegawai lain yang sesuai. Mesyuarat JKPA hendaklah diadakan sekurang-kurangnya tiga bulan sekali.

v)         Pemeriksaan Mengejut:-

Pengetua dan Guru Besar atau Juruaudit Dalam hendaklah mengadakan pemeriksaan mengejut secara berkala terhadap peti besi atau wang tunai, setem atau barang-barang lain yang berharga.
Pemeriksaan hendaklah dijalankan tidak kurang dari sekali dalam enam bulan dan hasil pemeriksaan hendaklah direkodkan dalam Buku Pemeriksaan Mengejut (Am 28). Butiran yang perlu dicatat adalah:-        

a. Tarikh dan masa pemeriksaan 
b. Nama pegawai yang bertanggungjawab menyimpan wang tunai dan setem    
c. Amaun wang dan setem yang diamanahkan kepadanya               
d. Hasil pemeriksaan
e. Tandatangan dan jawatan pegawai pemeriksa

vi)        Perlantikan Pemverikasi Stok dan Pegawai Pemeriksa:-


Pengetua dan Guru Besar hendaklah menamakan secara bertulis sekurang-kurangnya dua orang sebagai Pemverikasi Stok dan Pegawai Pemeriksa (pegawai tidak terlibat secara langsung dalam pengurusan stor) dan mengemukakan nama-nama tersebut kepada Pegawai Pengawal melalui PPD untuk tujuan perlantikan. Pemverifikasi Stor dilantik berdasarkan jawatan dan tempoh pelantikan tidak melebihi dua (2) tahun

vii)       Penyediaan Rekod/Dokumen Kewangan Untuk Pengauditan:-

Bagi tujuan pengauditan Penyata Kewangan, Pengetua Dan Guru Besar hendaklah menyedia dan mengemukakan semua rekod atau dokumen kewangan kepada Bahagian Audit Sekolah,  memberi penjelasan atau maklumat yang diperlukan serta membenar dan memberi kerjasama semasa pengauditan atau pemeriksaan yang dijalankan.

viii)      Jawapan Kepada Laporan/Pertanyaan Audit:-

      Pengetua dan Guru Besar hendaklah memberi jawapan terhadap laporan atau pertanyaan Audit dalam tempoh satu bulan dari tarikh laporan atau pertanyaan Audit. ( AP 306 )

No comments:

Post a Comment